LORI TERBABAS, PEMANDU POSITIF SYABU

Shah Alam, Sept 24-

Satu klip video tular berkaitan sebuah lori yang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE) adalah disebabkan memandu dalam pengaruh syabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu.

“Siasatan awal mendapati, lori yang dalam perjalanan ke Subang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun hilang kawalan secara tiba-tiba kerana dipercayai tertidur lalu gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

“Selang beberapa minit kemudian, sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dari arah sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan. Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya cedera ringan,” katanya.

Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pemandu lori terbabit didapati positif methaphetamine.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 oleh Bahagian Narkotik Shah Alam.

“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sebuah lori dari lorong kanan di NKVE secara tiba-tiba hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebanyak tiga kali sebelum terbabas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here