Dua penghuni pusat rawatan psikiatri ditemui mati

Sungai Petani: Dua lelaki ditemukan meninggal dunia ketika berada di sebuah rumah teres yang dijadikan pusat rawatan psikiatri di Tikam Batu, dekat sini. Dua lelaki terbabit masing-masing berusia 25 dan 20 tahun adalah penghuni yang menjalani rawatan di premis berkenaan dan mereka meninggal dunia kelmarin dan semalam.

Mayat penghuni yang berusia 25 tahun berasal dari Negeri Sembilan ditemui pengurus pusat rawatan terbabit jam 8.20 malam kelmarin ketika dia mengejutkan mangsa untuk makan ubat. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Shah berkata, mangsa sebelum itu baru selesai makan malam dan dia kemudian berbaring di ruang tamu.

Lokasi terbabit kemudian disanitasi dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat. Sementara itu, Adzli berkata, seorang lagi penghuni turut ditemukan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika berada di pusat rawatan terbabit. Mangsa yang berusia 20 tahun berasal dari Perak itu ditemui tidak sedarkan diri oleh penyelia pusat rawatan berkenaan yang kemudian menghubungi hospital.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan dia sudah mendapat suntikan vaksin pada 17 September lalu, katanya. Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk saringan Covid-19 sebelum bedah siasat yang dijangka akan dilakukan hari ini. Hasil siasatan lanjut mendapati kematian dua mangsa terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here