Imigresen rugi RM81.69 juta akibat tidak kenakan penalti

KUALA LUMPUR: Kelemahan pemantauan dan perjanjian yang tidak jelas berhubung Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menyebabkan Jabatan Imigresen kerugian sebanyak RM81.69 juta. Ia membabitkan penalti yang tidak dikenakan terhadap sebuah syarikat yang mengendalikan kutipan hasil PLKS secara dalam talian, berikutan kelewatan serahan, remitan dan kesilapan mencetak pelekat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu didapati tidak mengenakan penalti terhadap kelewatan serahan pelekat PLKS kepada pengguna berjumlah RM73.89 juta serta penalti kelewatan remitan dan penalti kesilapan mencetak pelekat itu masing-masing berjumlah RM0.49 juta dan RM7.31 juta.

Pengauditan yang dijalankan di Bahagian Pekerja Asing dan Bahagian Kewangan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen bagi tahun kewangan 2020 itu turut mendapati tuntutan caj perkhidmatan PLKS oleh syarikat perkhidmatan berjumlah RM25.94 juta belum dibayar kerana kelewatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan perjanjian tambahan, kata laporan itu. Justeru, pihak audit mengesyorkan Jabatan Imigresen melakukan penambahbaikan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan syarat dan klausa perjanjian dipatuhi dan dikuatkuasakan bagi menjamin kepentingan kerajaan.

Tempoh perjanjian perkhidmatan secara dalam talian pembaharuan PLKS antara KDN dengan syarikat perkhidmatan berkenaan adalah dari Mei 2015 hingga Mei 2020. KDN mengemukakan permohonan perlanjutan perjanjian kepada Kementerian Kewangan pada 20 Mei 2020. Kementerian Kewangan pada 12 Jun 2020 meluluskan permohonan berkenan bagi tempoh tiga tahun mulai 23 Mei 2020 hingga 22 Mei 2023. Namun, semakan audit mendapati perjanjian tambahan belum dimuktamadkan,” menurut laporan itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here