Penganjur, pengunjung parti liar dikompaun RM1.5 juta

Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM1.565 juta ke atas penganjur dan 303 pengunjung parti liar kolam renang sebuah kelab di sini semalam. Kompaun dikeluarkan selepas semuanya didapati terbabit dengan aktiviti bertentangan penetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mereka membabitkan 161 lelaki dan 55 wanita warga asing dipercayai dari 27 negara serta 87 warga tempatan yang dikatakan menerima undangan melalui aplikasi media sosial. Hasil saringan ujian air kencing mendapati 23 warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan 14 wanita serta empat lelaki warga asing didapati positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata kompaun turut dikeluarkan kepada dua lelaki tempatan yang juga penganjur serta penjaga parti berkenaan.

Penganjur dikompaun sebanyak RM50,000, 87 pengunjung warga tempatan dikenakan kompaun berjumlah RM435,000 manakala manakala nilai kompaun 216 pengunjung warga asing berjumlah RM1,090,000, katanya di sini, hari ini. Amihizam berkata, semua 216 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22(b) Akta 342 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2021 serta Seksyen 32 Akta Eksais 1976.

Dalam operasi jam 10.50 malam tadi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu kawasan kolam renang berkenaan.

Ketika serbuan, sebahagian wanita berpakaian mandi leka menari sambil berenang bersama kumpulan lelaki diiringi muzik dalam parti yang dikatakan bermula jam 4 petang. Difahamkan, setiap individu dikenakan bayaran serendah RM60 untuk menyertai parti berkenaan manakala harga meja ditawarkan antara RM1,200 hingga RM8,000, berserta hidangan minuman keras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here