Polis siasat kes buli, tumbuk perut pelajar

Polis mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian kes buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sebuah sekolah asrama di Kuala Kangsar. Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah mengambil maklum perkara itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci.

Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob untuk menyiasat bila kejadian buli ini berlaku kerana kadang-kadang kejadian (berlaku) lama, tetapi ditularkan semula. Video itu memang nampak kejadian buli dengan menumbuk perut mangsa, jadi polis akan menjalankan siasatan, katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, di sini, hari ini.

Sebelum ini tular satu klip video di media sosial menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka. Mior Faridalathrash berkata, berdasarkan ruangan komen warganet kejadian itu dikatakan berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar.

Tetapi, kita belum dapat memastikan sama ada betul atau tidak kejadian itu berlaku di Kuala Kangsar atau di tempat lain. Pihak polis sentiasa menghantar pegawai perhubungan sekolah (PBS) untuk melakukan pemantauan di sekolah katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here