Kanak-kanak dipukul dengan kayu, tali pinggang hingga meninggal dunia

Klang: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggal dunia, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bahawa kanak-kanak itu dibawa ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 24 Disember sekitar jam 6.20 petang.

Katanya, mangsa difahamkan dibawa ibunya ke hospital itu. Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia dan pemeriksaan pada badan mendapati terdapat kesan lebam pada keseluruhan badannya.

Susulan itu, pada 25 Disember lalu (Sabtu), Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuat tangkapan ke atas dua individu iaitu ibu mangsa berusia 27 tahun serta seorang lelaki dipercayai teman lelaki wanita terbabit, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa dan disyaki didera serta dipukul dengan menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju sehingga meninggal dunia.

Katanya, kedua-dua suspek itu direman selama enam hari bermula Sabtu sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here