Kebanyakan barang basah seperti ayam segar, telur dan beberapa jenis sayuran menyaksikan penurunan harga, selepas kerajaan memperluaskan jumlah barangan menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), bermula hari ini. Tinjauan di pasar borong dan pasar raya sekitar Setia Alam dan Klang mendapati, barangan keperluan harian dijual mengikut harga ditetapkan.
Selain itu, bekalan beberapa jenis ikan seperti kembung, selar, mabong, senangin, selayang dan siakap belum terjejas, meskipun kawasan perairan negara khususnya di Pantai Timur, dilanda musim tengkujuh. Bagaimanapun, beberapa pengguna yang ditemui menyifatkan penurunan harga barangan di bawah SHMKM khususnya ayam segar, masih terlalu kecil dan mengharapkan penurunan lebih ketara dalam masa terdekat.
Peniaga ayam di Pasar Muhibbah di Setia Alam, Iman Azami, 24, berkata harga ayam segar dijualnya ketika ini adalah RM9 sekilogram iaitu di bawah harga maksimum SHMKM iaitu RM9.10 sekilogram. Katanya, beliau mengekalkan harga itu walaupun harga ayam naik dengan ketara baru-baru ini bagi mengekalkan pelanggan yang datang, namun terpaksa mengorbankan kadar keuntungan pada jumlah agak ketara.
“Sekarang saya beli ayam daripada pemborong pada harga RM8.10 ke RM8.30 sekilogram, namun saya kekalkan harga jualan RM9 sekilogram, dengan kadar keuntungan sekitar 70 ke 90 sen. Harga daripada pemborong pernah melambung naik sehingga keuntungan menurun sekitar 40 sen. Namun, saya terpaksa kekalkan kerana jumlah pelanggan masih sedikit, tidak seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,” katanya kepada BH, hari ini.
Peniaga ikan di pasar sama, Fikry Zahin Zulkipli, 30, mengakui semakin sukar mendapatkan ikan segar terus dari jeti seperti siakap, kembong dan selayang akibat musim tengkujuh di Pantai Timur.Bagaimanapun, dia masih dapat mengekalkan harga jualan buat masa ini kerana tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya diperoleh secara terus dari Jeti Chendering, Terengganu.
Sekarang memang bot sukar turun ke laut. Jika dulu boleh turun enam kali seminggu, sekarang hanya dua hingga tiga kali seminggu dengan hasil sekitar dua hingga tiga tan ikan sekali turun. Buat masa ini, saya masih kekalkan harga jualan bagi ikan kembung dan selar (RM11 hingga 12 sekilogram) serta delah dan tongkol (RM18 ke RM22).
Namun, ada sedikit kenaikan harga bagi peniaga yang menggunakan orang tengah. Untuk yang mahu kekalkan harga, mereka perlu beralih menjual ikan sejuk beku termasuk di pasar borong kerana bekalan terhad,” katanya yang menjangkakan kenaikan harga ikan akan berterusan menjelang Tahun Baharu Cina jika musim tengkujuh berpanjangan.
Sementara itu, tinjauan BH di sebuah pasar raya di Klang, mendapati harga telur dijual mengikut harga ditetapkan SHMKM iaitu antara RM3.90 hingga RM4.30 bagi 10 biji telur mengikut gred.Beberapa pengguna ditemui menghargai harga maksimum itu, namun berharap kadar penurunan lebih besar bagi barangan mentah utama seperti ayam.
Guru sekolah antarabangsa, Suchi Mukunan, 30, berkata harga ayam segar di pasar itu turun kepada RM8.79 sekilogram, namun ia terlalu sedikit berbanding harga terdahulu. Dulu saya pernah beli ayam sekitar RM7.70 sekilogram, jadi penurunan tidak begitu terasa dan perlu diturunkan lagi, apatah lagi ramai orang tengah susah akibat banjir ketika ini.
“Namun, harga ikan tidak terjejas walaupun musim tengkujuh. Saya beli siakap hari ini pada harga RM7 sekilogram, sama seperti sebelum ini,” katanya. Pekerja kilang, Misnan Ridwan, 53, berharap kerajaan mengawal harga jualan barang mentah seperti ayam dan sayur di peringkat pemborong, berbanding memberi fokus di peringkat jualan kepada pengguna.
“Harga ayam hari ini turun beberapa sen saja, tidak terasa sangat berbanding sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram sebelum ini. Ada beberapa jenis sayur juga yang naik harga,” katanya.