Bekalan minyak masak bungkus di Pulau Pinang masih kurang

Masalah kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) didapati masih lagi berlaku di Pulau Pinang. Perkara itu diketahui selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara berkenaan.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata pihaknya menyedari isu kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi itu. Katanya, satu daripada punca dipercayai akibat penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, kita ada buat satu serbuan di sebuah premis membungkus semula kira-kira 20 tan minyak masak bersubsidi. Namun, tiada tangkapan dibuat kerana dalang sebenar yang terbabit dalam kegiatan itu tiada di lokasi kerana mengupah orang ketiga untuk beroperasi, tetapi kita sudah merekodkan percakapan individu di premis terbabit untuk tindakan lanjut.

Kita amat mengambil serius serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika mempunyai bukti yang kukuh, katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid At-Taqwa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan berhubung isu itu secara rasmi dan tidak rasmi yang disuarakan orang awam melalui pelbagai saluran termasuk media sosial. Dalam hal ini, saya turut mengarahkan pegawai untuk memberi tumpuan khusus terhadap isu bekalan minyak masak ini. Setiap aduan yang diterima akan dibuat risikan, siasatan dan jika ada asas yang kukuh, kita akan terus buat rampasan dan serbuan terhadap mana-mana pemborong atau syarikat yang disyaki, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here