Kegiatan tukar hak milik kenderaan – Empat ditahan

Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia 34 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan berkaitan sindiket pemalsuan dokumen kerajaan bagi petukaran hak milik kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata kesemua suspek dicekup di dua lokasi berasingan, iaitu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seremban dan Jalan Sungai Alai, Melaka, masing-masing pada 30 September lepas dan kelmarin.

Katanya, penahanan kesemua suspek ekoran laporan polis yang dibuat pegawai JPJ dari Seremban dan Kuala Pilah, pada 29 September dan 30 September lepas, yang mengesyaki dokumen palsu dikemukakan mereka.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan telah membuka dua kertas siasatan kes melibatkan dokumen kerajaan yang telah dipalsukan bagi tujuan urusan pertukaran hak milik kenderaan, melibatkan pemilik asal yang telah meninggal dunia.

“Daripada siasatan awal, dua lelaki daripadanya merupakan adik-beradik manakala seorang wanita merupakan isteri kepada seorang suspek… seorang lagi lelaki merupakan pekerja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Che Zakaria berkata dalam pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Melaka, polis merampas pelbagai barangan dan dokumen antaranya 140 geran kenderaan, 32 nombor pendaftaran kenderaan, cop timbul (tujuh) dan Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995 dari Pejabat Tanah dan Galian (10 keping).

Turut dirampas ialah sebuah kenderaan Perodua Bezza, motosikal (14 buah), cop pelbagai negeri (33), dua unit komputer riba, sebuah telefon bimbit, tujuh lesen kenderaan motor (LKM) serta tiga unit ped dakwat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here