Bencana alam: Ampang dalam kategori kritikal

Ampang Jaya: Kejadian bencana alam yang berlaku di sekitar daerah sejak akhir-akhir ini memberi petanda kawasan Ampang berada dalam kategori kritikal. Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Kemensah, Mohd Fazil Abdullah berkata, aspek semula jadi termasuk struktur tanah lembut juga antara punca kejadian berkenaan berlaku.

Ampang ini banyak kawasan cerun. Sebab itu, saya berpendapat ada keperluan untuk tanam pokok di kawasan tanah lapang. Akar pokok berperanan sebagai pengukuh bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah. Ia juga membantu menangani masalah banjir kilat dengan bertindak meningkatkan kadar penyerapan air bawah tanah,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Semalam, lapan kenderaan dilaporkan rosak teruk ditimpa bongkah batu yang jatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah, Ampang Jaya. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilaporkan berkata insiden pada 4.30 pagi itu disebabkan bencana alam susulan hujan lebat dan angin kencang.

Sebelum ini, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat didiami 28 keluarga terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Kemensah Height. Ditanya mengenai bongkah batu terjatuh itu, Mohd Fazil berkata, beliau tidak terkejut dengan perkara berkenaan kerana Ampang dilihat sinonim dengan bencana alam.

Sebab itu, kita minta pihak berkaitan berhenti bina bangunan tinggi dan kondominium hingga 30 tingkat. Kawasan itu tidak sesuai lagi untuk pembangunan sebegitu tetapi kalau nak bina rumah teres tiada masalah. Namun, jika ada pihak berkuasa yang masih mahu bina bangunan tinggi, mereka perlu ada kajian menyeluruh. Kita mahu elak kejadian lebih teruk pada masa hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here