Suspek kes bunuh Ladang Melangking ditahan

Seorang lelaki yang diburu sejak tiga hari lalu membabitkan kes bunuh pekerja Ladang Melangking, di sini, berjaya ditahan polis, petang semalam.

Warga asing terbabit berjaya ditahan kira-kira jam 4.00 petang, ketika bersembunyi di bawah timbunan pelepa kelapa sawit di kawasan Ladang 8, peringkat 4, di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, hasil maklumat diterima, seorang saksi memaklumkan suspek pernah berkunjung ke perumahan pekerja ladang berkenaan untuk meminta makanan, sehari sebelum itu.

Katanya, saksi turut menyatakan suspek yang dilihat kira-kira jam 1 petang itu turut membawa bersama sebilah pedang samurai.

“Hasil maklumat, gerakan memburu suspek giat dijalankan dengan dibantu Unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi ‘Ops Kesan’ yang dijalankan secara berterusan akhirnya berjaya menahan suspek bersama sebilah pedang samurai sepanjang 30 sentimeter yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dzulbaharin berkata, semasa tangkapan dilakukan, suspek dalam keadaan tidak berpakaian namun tidak bertindak agresif.

“Suspek yang dikenali dengan nama Tata Dehasus itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga didapati negatif.

“Suspek kini ditahan di lokap IPD Kinabatangan sebelum dirujuk ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Dzulbaharin berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata, mangsa dalam kejadian kes bunuh berkenaan pula dijadualkan akan menjalani proses bedah siasat, esok, di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

Katanya, ia bagi membantu melengkapkan laporan siasatan sebelum proses pendakwaan dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here