Kereta terbakar di stesen minyak disyaki ada kaitan penyeludupan petrol

Rantau Panjang: Kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah kereta di stesen minyak di sini, disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan petrol. Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati ada tong plastik terbakar di lokasi kejadian. Menurutnya, ia disyaki untuk mengisi petrol dan bertujuan diseludup ke negara jiran.

Katanya, maklumat saksi mendapati ketika kejadian, suspek yang juga seorang lelaki berusia 36 tahun sedang mengisi petrol sebelum api tiba-tiba menyambar bahagian belakang kereta dan lelaki itu terus bertindak melarikan diri. Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu mendapati ia milik seorang individu yang berasal dari Kampung Padang Tembusu di Tumpat, namun suspek yang memandu kereta ini adalah penduduk di Rantau Panjang.

Pegawai dan anggota yang bertugas sudah dimaklumkan mengenai insiden ini, polis sedang mengesan lelaki itu untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here