Muhammad Hafdan anak yang baik

Saya terkejut dan tidak percaya apabila mendapat berita Muhammad Hafdan Qurbani Azhar meninggal, selepas dipukul rakannya hanya kerana wang RM4. Saya reda dengan apa yang berlaku itu. Kini hanya tinggal kenangan tidak mungkin dapat dilupakan, kata Faridah Latif, 49.

Beliau berkata, hubungannya dengan mangsa sebagai ibu saudara angkat, namun mereka rapat sehingga arwah memanggilnya dengan panggilan ‘mama’. Menurutnya, dia terkilan atas kejadian yang berlaku terhadap arwah sehingga meragut nyawa mangsa yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Biasanya, sebelum ini bila balik ke sana, kami akan bertemu namun kali ini dia sudah tiada, katanya di Kampung Gelugor, Paya Bungor di sini hari ini. Faridah berkata, arwah seorang anak yang baik, taat kepada ibu bapa dan menghormati orang yang lebih tua. Faridah berkata, arwah dihantar balik ke asrama itu beberapa hari lalu selepas pembukaan kembali sesi persekolahan.

Beberapa hari sebelum kembali ke asrama, dia sempat membina pondok di atas pokok jering berhampiran rumahnya sebagai tempat bermain, selain untuk memudahkan dia memetik buah. Kini pondok berkenaan menjadi antara kenangan selepas arwah pergi buat selama-lamanya, katanya.

Beliau menambah, kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa itu tidak sepatutnya berlaku hanya kerana wang RM4. Katanya, arwah dianggap istimewa kerana tidak pernah berkira dengan rakan-rakan malah jika ada yang berhutang dengannya, dia sentiasa menghalalkan. Media melaporkan seorang penghuni asrama rumah anak yatim dan miskin di sini meninggal dunia, dipercayai akibat dibelasah seorang rakan asrama semalam.

Mangsa berusia 11 tahun dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga pengsan, ketika berada di bangunan surau asrama itu petang hari berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Susulan kejadian, suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here