Kapal perang Nazi ditemui di Norway selepas 80 tahun

Sebuah kapal perang Nazi pada Perang Dunia II yang ditembak dengan torpedo dan karam di perairan pantai Norway pada 1940 telah dijumpai secara kebetulan pada kedalaman 490 meter sewaktu pemeriksaan kabel tenaga bawah laut, kata jurutera yang menjumpai bangkai kapal itu kelmarin.

“Kadang-kadang, kita menjumpai sisa sejarah. Tetapi saya tidak pernah menjumpai apa-apa yang mengujakan seperti yang ini,” kata Ole Petter Hobberstad, seorang ketua juru-tera di pengusaha rangkaian tenaga Norway, Statnett, kepada AFP.

Kapal tentera laut Jerman, Karlsruhe, yang berukuran 174 meter, mengambil bahagian dalam serangan ke atas Norway dalam Perang Dunia II.

Selepas anggota tentera turun dari kapal pada 9 April 1940, kapal itu diserang oleh artileri Norway sebelum ia ditembak oleh sebuah kapal selam British dengan torpedo.

Rosak teruk, ia akhirnya diarah dikaramkan oleh kapten Jerman di perairan pelabuhan Kristiansand, di selatan Norway.

Tiga tahun lalu, sonar Statnett mengesan sebuah bangkai kapal yang tidak dikenali berhampiran sebuah kabel ketegangan tinggi di antara Norway dengan Denmark, tetapi jurutera syarikat tidak ada masa untuk menyiasat lanjut ketika itu, kata Statnett.

Tetapi pada 30 Jun lalu, selepas taufan berlaku di kawasan itu, sebuah pasukan dihantar untuk memeriksa bangkai kapal tersebut de-ngan sebuah kenderaan yang dikawal dari jauh (ROV).

Kira-kira 15 meter dari kabel bawah laut itu, ROV “menunjukkan sebuah bangkai kapal besar yang telah ditembak dengan torpedo. Tetapi hanya apabila meriam – dan simbol Nazi – dapat dilihat pada skrin baharulah Ole Petter Hobberstad dan kru sedar bahawa ia adalah dari zaman perang”, Statnett menyebut dalam satu kenyataan.

Muzium Maritim Norway kemudian mengesahkan tidak ada keraguan bahawa  bangkai kapal itu sesungguhnya adalah kapal Karlsruhe, yang sebelum ini tidak dapat dikesan.

Kapal yang karam itu terletak 13 batu nautika di perairan Kristiansand. Ia terlantar dalam keadaan menegak di dasar laut, se-suatu yang jarang sekali kelihatan bagai kapal perang dengan pusat graviti tinggi yang biasanya senget, me-nurut pakar.

Dibina di Kiel, utara Jerman, kapal perang itu dilancarkan pada 1927. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here