Lelaki ditikam dan ditetak meninggal dunia di hospital

Bukit mertajam, Seorang lelaki maut selepas ditetak dan ditikam oleh sekumpulan individu dalam satu pergaduhan berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru, di sini, malam tadi. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata mangsa berusia lingkungan 30-an itu disyaki diserang empat lelaki dan seorang wanita dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu.

Katanya mangsa yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut sebelum dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk leher.

Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku di kawasan terbuka berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru dan ia membabitkan mangsa dengan seorang wanita dan empat lelaki warga tempatan yang mana mereka dipercayai yang saling mengenali.

Lelaki itu dikatakan terlibat dalam pergaduhan selepas diserang kumpulan tersebut dan mangsa mengalami kecederaan yang serius dihantar ke HBM oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, katanya dalam sayu kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata kumpulan suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan dan usaha mengesan mereka yang terlibat sedang giat dijalankan.

Polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu berpunca daripada dendam di antara mereka namun siasatan lanjut masih dijalankan, katanya. Punca pergaduhan juga masih dalam siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu tular beberapa video berdurasi 17 saat, 10 saat dan lima saat di media sosial terutama Facebook memaparkan kejadian pergaduhan yang dirakam orang awam yang melalui kawasan berkenaan. Menerusi video itu, kelihatan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan mangsa yang parah terbaring di jalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here