Polis giat kesan individu terbabit kes penari separuh bogel

Serdang: Beberapa lagi tangkapan akan dilakukan polis bagi membantu siasatan kes pondan menari separuh bogel pada satu majlis sambutan Hari Raya di Centrewalk I-City Shah Alam pada 27 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sejurus selepas kejadian itu, pihaknya menahan penganjur yang menempah penari pondan separuh bogel dalam majlis berkenaan.

Katanya, penganjur berkenaan direman sehari untuk dirakam keterangan dan dia sudah dibebaskan. Proses rakam keterangan kes terbabit belum selesai memandangkan kita akan melakukan beberapa lagi tangkapan secara berperingkat.

Ini kerana ada dalam kalangan mereka termasuk penari yang berada di luar kawasan, katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass dan Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Datuk S Sasikala Devi. Arjunaidi berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan keterangan daripada saksi kejadian.

Kita akan mengumpul keterangan yang diambil bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya nanti untuk arahan lanjut, katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang instafamous kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tular, tetapi separuh bogel serta pembakaran api sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim dipetik berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis oleh badan pengurusan lokasi itu.

Katanya, suspek yang juga penganjur dikenali dengan nama panggilan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 untuk majlis Hari Raya dengan jemputan kira-kira 50 kenalannya, Jumaat lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan pondan membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat terdapat aktiviti pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here