Kuala Lumpur, Sep 11.
Malaysia sedia membantu Maghribi dalam usaha menyelamat dan pemulihan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman Twitter rasminya pada Ahad berkata, beliau terkejut dan sedih dengan tragedi menimpa negara tersebut.
Menurutnya, Malaysia turut bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.
Perdana Menteri turut memaklumkan rakyat Malaysia di sana berada dalam keadaan selamat dan kerajaan akan terus memantau situasi mereka.
Gempa bumi terburuk melanda Maghribi telah mengorbankan lebih 2,000 mangsa, kata pihak berkuasa pada Ahad.Gempa bumi dengan magnitud 6.8 pada lewat Jumaat itu melanda kawasan pergunungan yang jaraknya 72 kilometer di barat daya bandar pelancongan Marrakesh.