NGO sokong wanita bekerja dari rumah

Kuala Lumpur, Sep 22
Kebenaran wanita diberi kelonggaran bekerja dari rumah beberapa hari dalam seminggu akan menggalakkan golongan itu kembali ke pasaran kerja, selain memberi lebih kemudahan kepada mereka yang sedia bekerja.Badan bukan kerajaan (NGO) wanita berpendapat, dalam situasi ekonomi semasa, wanita, terutama sudah berkeluarga, rata-rata tidak mahu hanya bergantung kepada suami, sebaliknya mahu turut sama mencari pendapatan bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Pengerusi Dewanita, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Shirin Othman berkata beliau menyokong sebarang usaha kerajaan dan majikan untuk melaksanakan berkerja dari rumah, terutama bagi wanita yang sudah lama tidak bekerja akibat pandemik COVID-19.

Dalam keadaan semasa dan selepas pandemik, kebanyakan ekonomi terbantut dan aliran tunai berkurangan, justeru memang amat digalakkan untuk wanita kembali bekerja, walaupun hanya separuh masa. Mungkin ada dalam kalangan wanita tidak bersedia untuk kembali bekerja dengan syarikat sepenuh masa, jadi mereka mungkin boleh bermula dengan berkerja dari rumah. Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya akan mencadangkan langkah berkerja dari rumah dua kali seminggu dalam menggalakkan wanita kembali bekerja.

Isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, supaya wanita diberikan kelonggaran untuk berkerja dari rumah dua hari seminggu, selain jadual waktu kerja anjal dilaksanakan.

Mengulas lanjut Shirin berkata, pihaknya juga menyediakan peluang kursus kemahiran bagi wanita yang ingin kembali bekerja, termasuk untuk menjadi usahawan. Wanita perlu mencari jalan dan lebih kreatif bagi menambah nilai keperluan keluarga dan ini sememangnya memerlukan galakan daripada banyak pihak, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here