Gelaran musuh Islam – Tidak adil tuduh saya kata Ramasamy

Kuala Lumpur, Nov 8.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P. Ramasamy berkata adalah tidak adil, penceramah Dr Zakir Naik menggelarkan beliau sebagai “musuh terbesar Islam”.

Ramasamy berkata beliau sudah lama menjadi penyokong kuat perjuangan orang Islam di seluruh rantau ini.

“Saya membantu wilayah Islam seperti Aceh dan Mindanao dalam rundingan damai mereka. Bagaimana beliau boleh melabelkan saya sebagai musuh Islam,” katanya dalam satu perhimpunan solidariti semalam.

Ramasamy mendakwa pada 2018, beliau memainkan peranan penting dalam membantu Aceh di Indonesia dan Mindanao di Filipina untuk mendapatkan kuasa autonomi di wilayah tersebut.

Pada Isnin lalu, Ramasamy membuat satu laporan polis terhadap Zakir. Beliau mahu penceramah itu menarik balik kenyataan yang dibuatnya di Nigeria pada Sabtu lalu dalam tempoh 14 hari atau peguamnya akan memfailkan saman fitnah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lalu, mengarahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta pampasan kepada Zakir kerana memfitnah penceramah itu antara 2017 hingga 2019.

“Jumlah pampasan yang saya perlu bayar adalah melampau. Saya tiada wang sebanyak itu. Atas sebab itu kami melancarkan kempen kutipan derma,” kata Ramasamy.

Katanya, penyokongnya setakat ini berjaya mengumpul lebih RM1.2 juta, dan menambah beliau terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh komuniti India.

Mengulas kenyataan Zakir yang mahu menyumbang wang RM1.52 juta itu kepada Palestin, Ramasamy berkata bagaimana Zakir mahu membelanjakan wang yang belum tentu ada kerana beliau akan merayu keputusan itu.

“Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi atau mengurangkan jumlah pampasan. Jadi, biarlah proses undang-undang ini berjalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here