PAKEJ TEKNOLOGI PENGELUARAN PADI MARDI TERBUKTI BERJAYA TINGKATKAN PENGELUARAN HASIL PADI NEGARA

SERDANG:

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memperkenalkan tujuh teknologi dalam rantaian pengeluaran  padi dan beras negara untuk kegunaan kumpulan sasar khususnya bagi meningkatkan pendapatan petani dan kelestarian pengeluaran padi dan beras bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata teknologi tersebut adalah Varieti Padi MARDI, Pakej Lestari Padi MARDI, Baja RealStrong N Bio Booster, Pakej Pengurusan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB), Teknologi Kawalan Padi Angin, Sistem Amaran Awal (EWS) serangga perosak benah perang, dan Sistem Penentuan Indeks Perataan Tanah.

Menurut beliau, projek khas penggunaan teknologi-teknologi ini telah dijalankan di tiga  lokasi berasingan iaitu di Kg Lahar Kemeling, Kodiang, Kedah dengan keluasan lima  hektar, Ladang Merdeka Ismail Mulong, Kelantan dengan keluasan lima hektar dan di Tali Air 2 Ban 3, Sungai Burong, Selangor, di atas tanah berkeluasan lapan hektar.

“Kita harap projek khas ini dapat memberi contoh amalan terbaik dalam penanaman dan pengeluaran padi serta menambah baik penerimaan petani dan pemain industri terhadap teknologi yang telah dibangunkan oleh MARDI“, katanya.

Beliau menambah, komponen utama dalam projek khas tersebut adalah penggunaan  varieti padi MR297 yang diperkenalkan pada tahun 2016 kerana dipercayai dapat memberikan hasil tuaian yang baik dan mempunyai kerintangan yang tinggi terhadap  penyakit karah.

“Antara ciri-ciri MR297 ialah ia matang sekitar 110-115 hari, mempunyai potensi hasil yang tinggi antara 8-10 tan/ha di kawasan-kawasan yang subur tahan rebah dan berat                                    seribu biji yang tinggi serta toleran kepada kemarau sederhana selama 30 hari,” ujarnya.

Zabawi berkata, selain varieti padi yang baik, MARDI juga menyediakan Pakej Lestari  Padi MARDI yang dikeluarkan dalam bentuk Manual Teknologi Penanaman Padi Lestari untuk mendedahkan prinsip dan teknologi kepada kakitangan pengembangan dan petani, yang boleh digunakan untuk pengeluaran hasil yang tinggi dan berdaya maju.

Jelasnya, penumpuan manual ini adalah terhadap penyediaan tanah yang rapi, penggunaan kadar benih yang optimum, kawalan perosak dan penyakit yang berkesan dan penggunaan baja tambahan selain baja subsidi yang diberi oleh kerajaan.

Ujar Zabawi, MARDI turut menggalakkan penggunaan Baja RealStrong N Bio Booster bagi membantu meningkatkan hasil padi pesawah.

“Penggunaan baja ini akan memberi kesan positif terhadap sifat kimia tanah (pH, jumlah N dan jumlah karbon) dan populasi mikroorganisma bermanfaat tanah yang menyebabkan beberapa komponen hasil seperti bilangan tangkai per meter persegi dan peratusan biji penuh akan meningkat,” katanya.

Selain penggunaan baja, MARDI turut memperkenalkan Pakej Pengurusan Penyakit. Hawar Bulir Bakteria (BPB) sebagai pengesyoran untuk kawalan dan pencegahan penyakit BPB dalam penanaman padi menerusi integrasi kaedah rawatan benih dan semburan secara foliar pada peringkat pokok matang, kata Zabawi.

 

“Penyakit ini telah disahkan kehadirannya di Malaysia sejak tahun 2017 yang boleh menyebabkan kehilangan hasil yang ketara sehingga 75% dan menjejaskan kualiti pengilangan beras.

“Justeru, pakej ini membantu merencat pertumbuhan bakteria Burkholderia glumae pada permukaan benih seterusnya berupaya mengurangkan kadar insiden penyakit BPB di lapangan sehingga 50% tanpa penjejasan kadar percambahan benih padi yang ketara, pengendalian yang mudah diikuti oleh petani di mana penyemaian terus                           dapat dilakukan selepas rawatan benih, tiada kesan fitotoksik yang ketara pada pokok           padi dan kos rawatan yang berpatutan,“ tambahnya.

Beliau menambah, projek khas tersebut turut menggunakan teknologi kawalan padi angin untuk Amalan Sistem Tabur Terus Basah, WRFree® yang merupakan kaedah baru yang dibangunkan oleh MARDI pada tahun 2020 untuk mengawal padi angin dalam amalan sistem tabur terus basah dengan lebih berkesan.

Katanya, WRFree® merujuk kepada Standard Operating Procedure (SOP) pengurusan padi angin melalui teknik penggunaan racun rumpai pra-cambah diubahsuai agar populasi biji benih padi angin dalam tanah dapat dikurangkan.

“Ia tertumpu kepada proses penyediaan tanah yang rapi, teknik penyemburan dan penggunaan racun pra-cambah diubahsuai agar bank biji benih padi angin dalam tanah dapat dikawal dengan optimum.

“Kajian di ladang membuktikan bahawa SOP WRFree© berjaya mengurangkan populasi padi angin pada musim pertama sebanyak 45% pada rawatan pretilachlor dan 30% pada rawatan oxadiazon yang kemudiannya meningkat pada musim kedua  sebanyak 85% dan 70% pada rawatan pretilachlor dan oxadiazon, hasilnya, SOP WRFree© dapat meningkatkan hasil padi sebanyak3-4 t/ha. `,” jelasnya.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa Sistem Amaran Awal (EWS) serangga perosak benah perang merupakan teknologi digunakan bagi memantau populasi benah perang sebelum serangan yang teruk berlaku pada tanaman padi.

“Kelebihan tenologi ini ialah ia berpotensi menggantikan aktiviti pemantauan secara manual yang menggunakan tenaga buruh. Teknologi ini juga mempunyai capaian maklumat yang lebih mudah dan tindakan kawalan yang lebih berkesan serta dapat meningkatkan kecekapan pengesanan wabak serangan sehingga 50% sebelum kehilangan hasil yang lebih teruk,” katanya.

Menurut Zabawi, teknologi terakhir yang diperkenalkan oleh MARDI untuk projek khas  ini adalah Sistem Penentuan Indeks Perataan Tanah secara automatik bagi menghasilkan pemetaan tanah digital yang digunakan untuk menabur benih padi secara kadar boleh ubah.

Katanya lagi, sistem ini membantu petani untuk mendapatkan maklumat sebenar perataan tanah sawah bagi memastikan penapakan tanaman yang sekata dan menjamin pertumbuhan pokok yang seragam.

“Justeru, MARDI berharap pakej teknologi yang disyorkan ini dapat diamalkan oleh petani dan juga dapat dikembangkan melalui agensi dan jabatan dibawah  kementerian pertanian dan keterjaminan makanan sebagai suatu alternatif kepada kaedah sedia ada bagi menjamin pengeluaran padi yang lestari,“ tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here