Mohamad Firdaus Rancang Kahwin Disember

Allahyarham Mohamad Firdaus Mat Izan, 26, dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan Disember depan, namun hasrat itu terbantut selepas dia terbunuh dalam kemalangan  pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan bapanya, Mat Izan Mohayat, 53, ketika ditemui di kediamannya di Taman Puteri dekat sini malam ini.

“Jika tidak ada halangan, arwah rancang untuk berkahwin Disember ini. Hasratnya untuk bertunang pada Syawal baru-baru ini juga terbantut akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Akibat PKP juga, arwah tidak dapat meraikan Syawal bersama keluarga kerana bertugas sebagai anggota di barisan hadapan di Sandakan, Sabah,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari tadi, Mohamad Firdaus bersama dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu LK PAP Maslim Abdul Rahim dan LK I TMK Muhammad Arif Idris maut, selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu.

Seorang lagi rakan setugas iaitu LK II TLR Vincent M Orel mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Ranau.

Mat Izan berkata, keluarganya amat terkejut dimaklumkan kejadian menimpa Mohamad Firdaus, namun menerimanya dengan hati terbuka kerana sedar itu cabaran perlu dihadapi ketika bertugas.

“Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan video pada malam dan hari pertama Aidilfitri baru-baru ini namun ketika itu dia cuma memaklumkan tidak dapat balik kerana bertugas.

“Ketika itu, arwah banyak kali memohon ampun dan maaf daripada semua ahli keluarga termasuk, namun tidak menunjukkan sebarang kelainan.

 “Sejak menjadi anggota TLDM dia sentiasa ceria sama ada ketika berhadapan dengan masalah atau sebaliknya,” katanya.

Jenazah Mohamad Firdaus dijangka dibawa pulang ke kediamannya di Taman Puteri sama ada Khamis atau Jumaat ini selepas semua urusan berkaitan selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here