Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Eain Yow, Sivasangari

Kuala Lumpur, 7 Okt.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari yang berjaya menyumbang pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, semalam.

Menerusi perkongsian di laman Instagram Istana Negara hari ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah.

Eain Yow, perseorangan lelaki negara meraih pingat emas selepas menewaskan Saurav Ghosal dari India dalam pertarungan selama 72 minit.

Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 13 tahun untuk merangkul gelaran juara perseorangan lelaki selepas Ong Beng Hee pada 2002 dan 2006 serta Mohd Azlan Iskandar pada edisi 2010.

Sementara itu, Sivasangari meraih emas dalam acara final perseorangan wanita selepas mengatasi bintang Hong Kong, Chan Sin Yuk dalam pertarungan selama 64 minit. Pingat yang dimenangi pemain ranking ke-37 dunia dan lebih mesra disapa sebagai Sangari itu merupakan emas kedua buat dirinya selepas membantu skuad wanita negara merangkul emas dalam acara berpasukan, Sabtu lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here