Petaling Jaya, Okt 16.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dituduh tidak berperikemanusiaan kerana menggunakan anak anjing sebagai umpan hidup untuk menangkap harimau kumbang liar, dengan kumpulan hak asasi haiwan berkata tindakan itu mungkin melanggar undang-undang kebajikan haiwan.
Anak-anak anjing itu, yang diletakkan di dalam sangkar, dibebaskan dengan selamat selepas harimau kumbang itu ditangkap. Bagaimanapun, Persatuan Haiwan Terbiar berkata, menurut Akta Kebajikan Haiwan, meninggalkan haiwan dalam keadaan yang boleh menyebabkan trauma, kesakitan, penderitaan atau sebarang bentuk kesusahan adalah suatu kesalahan.Seorang lagi aktivis, Rajesh Nagarajan daripada Lawyers for Animal Rights berkata, Perhilitan tidak seharusnya menggunakan sebarang umpan hidup dalam operasi penangkapan, menyifatkannya sebagai langkah yang “sangat tidak berperikemanusiaan”.
Ditanya sama ada perlu wujud peraturan bagi operasi penangkapan hidupan liar, Rajesh berkata, tidak perlu ada peraturan kerana hidupan liar harus dibimbing pulang ke habitat semula jadi mereka apabila masuk ke kawasan kediaman.
Pengurus Besar Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan di Selangor Kelvin Cheah berkata, tindakan Perhilitan itu meletakkan anak-anak anjing berkenaan dalam “keadaan yang menekan dan berbahaya, menyebabkan mereka menderita,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini melaporkan Perhilitan berkata, anak-anak anjing digunakan sebagai umpan hidup untuk menangkap harimau kumbang liar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lepas kerana umpan kambing tidak berkesan dan anjing dewasa tidak muat dalam perangkap.
Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hassan berkata, anak-anak anjing tersebut tidak mengalami sebarang bahaya dan mereka dibebaskan dari sangkar sebaik harimau kumbang itu ditangkap.