Majlis agama Islam dibenar celah kes batal undang-undang tukar agama sepihak

Kuala Lumpur, Okt 23.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Johor dibenarkan mencelah dalam cabaran undang-undang oleh Indira Gandhi dan 13 individu lain terhadap kesahan undang-undang negeri berhubung pengislaman kanak-kanak bawah umur secara sepihak, menurut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah meluluskan permohonan mencelah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), manakala permohonan serupa oleh Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan ditolak.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Shahid tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos dan menetapkan 20 Nov sebagai tarikh seterusnya bagi pengurusan kes.

Indira, yang tiga anaknya diislamkan oleh bekas suaminya tanpa persetujuannya, sedang berusaha untuk membatalkan undang-undang yang membenarkan perkara itu dilakukan di lapan negeri di Malaysia.

Saman pemula, yang difailkan pada 3 Mac, adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes Indira sendiri, bahawa penukaran agama secara sepihak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 itu membatalkan pengislaman ketiga-tiga anak Indira.

Undang-undang negeri di Wilayah-wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor pada masa ini membenarkan penukaran agama secara sepihak.

Bekas suami Indira, Riduan Abdullah, masih dalam buruan, dan anak perempuan mereka, Prasana Diksa, berada bawah kawalannya.

Riduan, sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, melarikan diri bersama Prasana yang berusia 11 bulan pada 2019, sejurus selepas memeluk Islam.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here