Kementerian, jabatan, agensi patuh arahan baharu kawalan perbelanjaan – KSN

Putrajaya, Nov 8
Kebanyakan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan didapati patuh dengan arahan baharu mengenai kawalan perbelanjaan awam yang dikeluarkan pada 18 Okt lepas, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkan sebagai langkah penjimatan serta bagi mengelak pembaziran sumber kewangan awam.

“Saya lihat selepas arahan dikeluarkan banyak kementerian patuh, maksudnya banyak acara dan program kerajaan (kini dibuat) di tempat kemudahan kerajaan, institut latihan awam dan sebagainya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perancangan Kebangsaan 2023, di sini hari ini, Mohd Zuki berkata pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan arahan itu sentiasa dipatuhi dan menjadi amalan dalam sektor perkhidmatan awam.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, mungkin ada tindakan yang diambil, tetapi saya yakin dan percaya semua ketua jabatan memahami apa yang dihasratkan oleh kerajaan (menerusi arahan ini),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here