Hentikan keganasan terhadap wanita

Kuala Lumpur, Nov 27.

Berdasarkan laporan PBB, hampir satu daripada tiga wanita seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau keganasan seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri .

Beliau berkata, terdapat lima bentuk keganasan yang dikenal pasti boleh berlaku kepada wanita, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan sosial, penderaan kewangan serta penderaan psikologi dan emosi.

Katanya, masyarakat lebih mengetahui mengenai penderaan fizikal dan seksual, tetapi ramai yang kurang sedar mengenai jenis bentuk keganasan lain yang boleh berlaku terhadap wanita.

“Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita adalah bentuk penderaan psikologi dan emosi, manakala jika seorang wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar, ia dikategorikan sebagai penderaan sosial.

“Penderaan kewangan pula diterjemahkan sebagai tindakan menghalang seorang wanita untuk mempunyai kebebasan memiliki, berbelanja dan mengawal sumber kewangannya,” katanya.

Nancy berkata, di Malaysia kes keganasan terhadap wanita masih pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes keganasan terhadap wanita yang membabitkan keganasan rumah tangga, jenayah rogol dan gangguan seksual di seluruh negara mencatatkan sebanyak 9,334 kes pada 2021 dan 8,580 kes pada 2022.

Bagi tahun ini pula katanya, sehingga Ogos 2023, sebanyak 5,050 kes direkodkan.

“Bilangan ini sangat tinggi, namun realitinya, masih banyak kes yang tidak dilaporkan oleh kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi.

“Kes keganasan terhadap wanita yang paling kerap adalah keganasan yang dilakukan oleh pasangan wanita yang membabitkan suami, bekas suami atau teman lelaki,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dalam menangani isu keganasan terhadap wanita, KPWKM konsisten dalam usaha untuk melindungi wanita khususnya mereka yang menjadi mangsa keganasan dengan pelaksanaan pelbagai perkhidmatan, program dan inisiatif yang berkaitan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menggerakkan kempen itu dengan tema Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di peringkat Antarabangsa iaitu ‘UNiTE! Invest to Prevent Violence Against Women and Girls’.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here