Kuala Lumpur, Jan 5.
Polis menggempur 16 premis rumah urut berunsurkan maksiat di lima daerah sekitar Selangor petang semalam, dengan 77 warga asing ditahan.
Dalam serbuan bermula jam 5 petang itu, polis turut menyelamatkan 37 wanita warga asing selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Sumber JSJ memaklumkan, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor di sekitar daerah Petaling Jaya, Serdang, Gombak, Klang Utara dan Klang Selatan.
Dalam serbuan ini, 25 wanita warga Vietnam, 28 wanita Thailand dan 23 wanita Indonesia serta seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan menyalahi undang-undang serta melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.





















