Banjir: SPM 2023 berlangsung seperti dijadualkan

Putrajaya, Jan 6
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula Isnin ini (8 Jan) hingga 7 Mac akan berlangsung seperti yang dijadualkan meskipun Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Ia akan ikut tarikh yang dirancang, peperiksaan SPM akan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan misi bantuan banjir Pantai Timur oleh Wanita PKR.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam soal persiapan banjir dan pasca banjir bagi memastikan tiada calon peperiksaan terjejas.

“Kita sudah pun ada pengalaman menguruskan calon SPM semasa banjir, mungkin kalau susah sedikit pun kalau ada isu mereka terputus jalan akibat banjir, itu pun kita dapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan yang lain untuk bawa calon ke pusat peperiksaan,” katanya.

Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Jan ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Jan), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Jan) dan peperiksaan bertulis (30 Jan hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Dis lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here