Lebih sejuta daftar Padu, kata menteri

Kuala Lumpur, Jan 9.
Lebih sejuta individu mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (Padu) setakat pagi ini pada hari kelapan sistem itu dilancar dan dibuka kepada orang ramai.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi catatan X berkata, angka itu termasuk kanak-kanak bawah 18 tahun. “Seluruh jentera kerajaan turun membantu untuk memastikan kita meminimumkan risiko keciciran dalam pelaksanaan subsidi bersasar melalui pendaftaran #PADU.

“Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar,” katanya sambil memohon kerjasama rakyat belum mendaftar untuk berbuat demikian melalui http://padu.gov.my.

Beliau turut memohon rakyat membantu individu kurang mahir digital untuk mendaftar, termasuk ibu bapa, keluarga dan jiran.

Pendaftaran Padu dibuka kepada orang ramai mulai 2 Jan lalu hingga 31 Mac ini, di mana pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi, termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, khasnya pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan lebih bersasar kepada rakyat benar-benar layak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here