‘Teman Lelaki’ didakwa bunuh Bella

Batu Pahat, Jan 24.
Teman lelaki kepada Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, bulan lalu.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A. Rahman namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, bekas posmen itu didakwa membunuh Mila Sharmilah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada jam 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu. Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid

manakala tertuduh diwakili Syahril Anuar.Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan perubatan.

Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi dengan kawalan ketat pasukan

keselamatan.Turut kelihatan keluarga kedua-dua belah pihak yang menanti di perkarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat bagi mendengar pertuduhan itu.

Mayat Bella ditemui dalam keadaan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar pada petang Jumaat lalu, selepas tertuduh dipandu ke lokasi.

Penemuan rangka itu merungkaikan semua misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama tertuduh pada malam 14 Disember lalu.

Semalam, polis dalam kenyataan media memaklumkan rangka ditemui itu adalah Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak Bella.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here