Rogol, liwat, bunuh warga emas hukuman gantung K. Sathiaraj dikekal

Putrajaya, Feb.
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas kelindan lori kerana membunuh nenek berusia 85 tahun, yang turut dirogol dan diliwat di flat warga emas itu, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail berkata, tiada merit dalam rayuan dikemukakan K. Sathiaraj, 31.

“Sabitan adalah selamat dan kes ini bersesuaian dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi untuk dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah and SM Komathy Suppiah.

Hukuman mati dijatuhkan pada 26 Ogos 2022, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Sathiaraj gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata tertuduh menyedari sepenuhnya bahawa tindakan dilakukan dan mempunyai niat menyebabkan kecederaan kepada si mati, dan bertindak dalam keadaan sedar.

“Tertuduh tidak berdepan kesukaran mengingati dan mengimbau insiden itu. Tertuduh memecah masuk ke rumah si mati untuk merompak sebelum mengikat tangan wanita berkenaan dan menekup mulutnya supaya dia tidak dapat menjerit.

“Tertuduh juga tahu niatnya selepas mengikat tangan wanita itu. Dia juga mengaku bersalah atas kesalahan rogol dan meliwat mangsa,” kata hakim Mahkamah Tinggi itu.

Menurut fakta kes, Sathiaraj menyerang wanita itu secara seksual sebelum mencuri rantai emas.

Selepas melarikan diri dari kediaman si mati, dia secara sedar meminta bantuan rakannya, N. Hari Krishnan, untuk memajak rantai berkenaan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.

Susulan itu, pembelaan mengemukakan tertuduh berada bawah pengaruh alkohol yang dibangkitkan peguam Sathiaraj, ditolak.

Sathiaraj, sebelum ini pernah disabit atas penyalahgunaan dadah, melakukan kesalahan terhadap wanita itu di flat di Jalan Tasik Tambahan 2, Ampang, antara 11.40 pagi dan 1 tengah hari, pada 19 Sept 2019.

Laporan bedah siasat mendedahkan mangsa maut akibat sesak nafas.

Sathiaraj ditahan di rumah kakaknya di Puchong, Selangor, kira-kira sebulan selepas kejadian dengan polis menemui kesan cap jari di lokasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here