Syarikat tipu pekerja Bangladesh berdepan tindakan tegas

Kuala Lumpur, Feb.
Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap syarikat di Cheras yang gagal menyediakan pekerjaan kepada 94 warga Bangladesh.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, rekod pihaknya menunjukkan syarikat itu membawa kumpulan pekerja terbabit ke Malaysia pada November 2023, tetapi gagal menjaga kebajikan mereka dari segi tempat tinggal dan makan minum.

“Melalui hasil operasi dan siasatan, tindakan tegas akan dan sedang diambil kedua-dua kementerian terhadap majikan,” kata dua menteri itu dalam kenyataan bersama.

“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia memberi amaran tegas kepada semua majikan yang menggaji pekerja asing agar sentiasa menjaga kebajikan pekerja serta mematuhi lunas perundangan negara.”

Mereka berkata, syarikat itu akan disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing kelak, selain membeku baki kuotanya.

FMT sebelum ini melaporkan pekerja itu membayar yuran pengambilan antara RM19,500 hingga RM21,700 untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia, di mana mereka dijanjikan kemudahan asas baik dan pekerjaan bergaji tinggi.

Tiga pekerja yang ditemui aktivis hak asasi pekerja asing, Andy Hall berkata, bayaran yuran pengambilan itu menyebabkan mereka terjerat hutang kerana terpaksa meminjam banyak wang.

Mereka berkata, pasport dirampas sejurus tiba dan berdepan penderaan fizikal serta lisan, selain diancam bunuh oleh seorang lelaki yang mengambil mereka di lapangan terbang.

Laporan disediakan Hall memaklumkan pekerja terbabit tinggal dalam keadaan sempit dengan hanya sebuah tandas dikongsi lebih 100 pekerja, diberikan makanan tidak mencukupi yang kebanyakannya nasi, kacang dal dan kentang putar.

Seorang pekerja asing itu mendakwa tidak diberikan makanan sehingga empat hari selepas bertanyakan perkembangan pekerjaan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here