Pemimpin akar umbi MIC bimbang kaum India beralih sokong PN

Kuala Lumpur, Mac.
Beberapa pemimpin akar umbi MIC bimbang sokongan kaum India terhadap parti itu semakin berkurangan dan menyedari komuniti terbabit cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) sejak kebelakangan ini.

Seorang pemimpin akar umbi MIC dari Lembah Klang yang enggan dinamakan mendakwa kaum India di kawasan bandar mengalihkan sokongan kepada PN.“Parti (MIC) tidak melakukan banyak kerja asas dan libat urus dengan rakyat, di mana PN sangat aktif dalam hal ini. Tidak kira musim pilihan raya atau tidak, PN bekerja secara agresif dengan masyarakat setempat, khasnya PAS yang mempunyai asas akar umbi sangat kuat,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi amaran kerajaan perpaduan mungkin tidak mendapat banyak sokongan kaum India dalam pilihan raya akan datang, jika keadaan ini berterusan.“Kita sudah nampak lonjakan besar sokongan kaum India kepada PN dalam enam PRN Ogos lalu dan ini hanya akan terus meningkat.”

Parti komponen Barisan Nasional itu juga rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak, antara lain. Prestasi MIC terburuk dalam PRU15 pada November 2022 dengan hanya menang satu kerusi berbanding dua kerusi pada 2018.

MIC dan MCA tidak menyertai enam PRN Ogos lalu, yang menyaksikan PH dan Umno tewas di Kedah, Terengganu serta Kelantan, selain hilang beberapa kerusi di Selangor dan Pulau Pinang.

Kajian oleh penganalisis Bridget Welsh yang disiarkan Malaysiakini menunjukkan undi kaum India bagi PH merosot sebanyak 21%, 19% dan 12% di Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Selangor, manakala undi kaum itu kepada PN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor meningkat sebanyak 29%, 19% serta 14%.

Seorang pemimpin akar umbi MIC dari Melaka berkata, antara sebab sokongan kaum India terhadap BN merosot kerana mereka kecewa dengan kerajaan pusat.

“Orang India mempunyai jangkaan sangat tinggi terhadap Anwar Ibrahim, tetapi selepas menjadi perdana menteri, banyak janji tidak ditepati.”

Seorang pemimpin akar umbi dari Negeri Sembilan pula berkata, BN perlu mula bekerja di peringkat akar umbi bagi mengembalikan kepercayaan kaum India.

“Tiada parti berasaskan kaum India yang lebih besar daripada kita di negara ini dan jika kita tidak mula bekerja di lapangan, parti lain boleh ambil alih kedudukan itu.”

Beliau memberi contoh Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang diumumkan tahun lalu oleh bekas ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan, selaku presidennya. Bekas timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy pula melancarkan parti baharunya, Urimai pada November lalu.

“Tiada gunanya kami turun padang sendiri kerana rakyat akan pandang rendah memandangkan tiada wakil MIC dalam Jemaah Menteri. Oleh itu, pemimpin dalam kerajaan perlu sokong kami juga.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here