Agong, Permaisuri ucap selamat menyambut Tahun Baharu Tamil, Vaisakhi

Kuala Lumpur, Apr.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut  Tahun Baharu Tamil dan Hari Vaisakhi  kepada semua masyarakat  Tamil dan Sikh di negara ini.

Menurut catatan dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah toleransi dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain menjadi tunjang perpaduan negara selama ini.

“Sebagaimana saya menegaskan sebelum ini, perpaduan berbilang kaum ialah hadiah yang paling bermakna buat saya.

“Keharmonian dan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau bangsa amat penting untuk kestabilan negara,” titah Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah semoga Tahun Baharu Tamil dan Hari Vaisakhi  akan terus membawa kegembiraan kepada mereka yang meraikannya.

Chithirai Puthandu iaitu Tahun Baharu bagi kaum Tamil disambut setiap tahun pada hari pertama dalam kalendar matahari Tamil. Sementara itu, Hari Vasakhi menandakan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here