Kuala Lumpur, Jun-
Ibu bapa murid yang mengalami strok haba selepas didenda berjemur bawah terik matahari lebih dua jam mendakwa, pihak berkuasa mengalihkan fokus siasatan mereka kepada ketidakupayaan kanak-kanak itu.
Jurucakap keluarga, S. Dayalan, berkata pegawai penyiasat kes baru-baru ini menemui ibu murid berusia 11 tahun itu, AD Mogahana Selvi untuk bertanya mengenai ketidakupayaan kanak-kanak terbabit.
“Mereka mahu mengetahui siapa yang memaklumkan ibu bapa berkenaan bahawa kanak-kanak itu OKU (orang kurang upaya). Saya juga mendapat maklumat mereka memperoleh rekod kanak-kanak itu dari Tahun 1 hingga 5,” katanya dalam sidang media.
“Saya mengesyaki mereka mahu mencadangkan kemungkinan bahawa kanak-kanak itu memang OKU sejak sebelum kejadian.”Menurut peguam keluarga itu, Dinesh Muthal, mereka mendapati doktor yang sebelum ini sepatutnya memeriksa kanak-kanak terbabit pada 30 Mei telah digantikan.
“Doktor berkata disebabkan ia kes polis, beliau terpaksa menangguhkan penilaian lanjut mengenai ketidakupayaan kanak-kanak itu sehingga dua bulan,” katanya.
Dalam sidang media terdahulu, keluarga itu berkata murid berkenaan dinilai sebagai OKU oleh Hospital Ampang. Ibu bapanya dalam proses mendapatkan kad OKU untuknya.
Dinesh juga berkata, jika kanak-kanak itu berstatus OKU sebelum kejadian, tidak mungkin sekolah terbabit tidak menyedari masalah pembelajaran dihadapinya sejak Tahun 1.
“Berdasarkan maklumat sumber, murid itu cuma lemah dalam mata pelajaran bahasa Malaysia,” katanya dengan menambah pihak sekolah pernah mencadangkan dia dipindahkan ke sekolah Tamil kerana kelemahan subjek berkenaan.
Dayalan berkata, Sabtu lalu, ibu bapa terbabit membuat laporan polis terhadap doktor berkenaan kerana melambatkan proses permohonan kad OKU, selain terhadap guru terlibat kerana mengganggu saksi.
Ibu bapa berkenaan turut meminta Bukit Aman melantik pegawai penyiasat “lebih cekap” untuk mengendalikan kes itu.
Dayalan berkata, mereka telah memfailkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan pagi ini demi mendapatkan keadilan untuk kanak-kanak berkenaan.-FMT