George Town, Jun-
Seorang lelaki maut ketika mencuci paip yang tersumbat di dalam kolam gentian kertas di sebuah kilang pembuatan kotak di Nibong Tebal semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa, rakyat tempatan berusia 41 tahun, turun sendirian menjalankan kerja mencuci paip tersumbat di dalam kolam itu, yang tertangguh hampir dua minggu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata, apabila mangsa gagal dikesan, seorang penyelia bersama beberapa pekerja lain berusaha mencari lelaki itu.
“Semakan kamera litar tertutup menunjukkan mangsa masuk ke dalam kolam pada 3.38 petang semalam “Pada 10.40 malam, mangsa dijumpai namun telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Bernama.
Susulan kejadian,sepasukan pegawai penyiasat JKKP menjalankan siasatan di lokasi, tambahnya.
Hairozie berkata, JKKP Pulau Pinang juga mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai, selain mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang.