Umno hanyalah ‘pengasuh’: Serahkan sementara jawatan ketua BN kepada komponen, kata MIC

MIC sudah meminta satu mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan status terkini dan hala tuju kepimpinan gabungan itu pada masa hadapan. Mengesahkan perkara itu, Presidennya SA Vigneswaran berkata, hal ini disebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menjelaskan status perjawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno selepas tamat tempoh penggal kepimpinan 2018/2021 pada 30 Jun lalu adalah bersifat “caretaker” dengan parti itu tidak boleh membuat sebarang keputusan substantif.

Kami sudah minta mesyuarat Dewan Tertinggi BN diadakan dalam masa terdekat memandangkan kami bimbang dengan status terkini kepimpinan BN susulan JPPM mengumumkan status perjawatan MKT UMNO ketika ini hanya bersifat ‘caretaker’. Apabila keadaan itu berlaku, kami bimbang sebarang keputusan dibuat pengerusi BN yang juga presiden Umno ketika ini akan dianggap tidak sah dan boleh dicabar (undang-undang).

Bagi mengelakkan perkara berbangkit berlaku, BN perlu menentukan jawatan tertinggi koalisi itu diserahkan kepada mana-mana parti komponen yang mendapat persetujuan semua pihak, buat sementara waktu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Vigneswaran berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Ketua Pengarah JPPM Jasri Kasim yang mengesahkan perjawatan MKT Umno kini hanya bersifat “caretaker” dan sekadar berkuasa menjalankan kerja pentadbiran biasa parti selepas tamat tempoh penggal kepimpinan pada 30 Jun lalu.

Bercakap kepada sebuah portal berita tempatan, Jasri turut menegaskan Umno perlu membawa sebarang cadangan pelaksanaan atau keputusan dasar parti ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 terlebih dahulu dengan sebarang keputusan dasar selepas 30 Jun, dianggap tidak sah.

Terdahulu, JPPM dalam satu surat bertarikh 6 Ogos lalu menjelaskan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti itu bagi tempoh 18 bulan, turut dianggap tidak sah. Ketika ini MIC adalah sebahagian daripada empat parti komponen BN yang turut dianggotai Umno, MCA dan PBRS.

Dua jawatan penting dalam BN iaitu pengerusi dan setiausaha agung koalisi itu ketika ini turut digalas oleh Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno serta ahli MKT, Zambry Abdul Kadir. Untuk rekod, jumlah keseluruhan Ahli Parlimen BN adalah 42 orang dengan 38 daripadanya terdiri Ahli Parlimen Umno, dua MCA, satu MIC dan satu daripada PBRS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here