Pemandu bas persiaran direman 4 hari

Bentong, July-
Pemandu bas persiaran yang terbabit kemalangan sehingga menyebabkan dua maut dan 13 cedera di Kilometer (KM) 16.5, Jalan Genting Highlands di sini semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong jam 10.30 malam tadi.

Katanya, suspek direman bermula hari ini hingga Rabu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Zaiham sebelum itu mengesahkan pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di KM16.5, Jalan Genting Highlands di sini tiada lesen memandu selain memiliki 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi itu, bas persiaran itu yang membawa 21 penumpang termasuk pemandu, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49, sudah dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here