Kuala Lumpur, July-
Pemandu bas persiaran yang terbabit kemalangan mengakibatkan dua kematian di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, 29 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Raub.
Bagaimanapun, S. Anand Kumar, 32, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Siti Aishah Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya dan Seksyen 26(1) kerana memandu tanpa lesen sah.
Tertuduh memandu bas persiaran yang terbalik dan membunuh dua warga China – Zhang Ping, 58 dan Wang Shuhong, 49, selain mencederakan 19 yang lain dalam kemalangan itu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala Anand tidak diwakili peguam, menurut Berita Harian.
Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu bas dalam kes itu tidak memiliki lesen memandu, malah mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.
Dalam kejadian kira-kira 10.35 pagi 29 Jun lalu, bas persiaran membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5 jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ibu negara.
Semua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas, manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong China disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.





















