Ipoh, Julai-
Beberapa peruntukan tambahan disalurkan khusus bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India bukti kerajaan perpaduan tidak mengabaikan golongan itu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menyalurkan RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), selain menambah beberapa dana seperti bantuan RM50 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India.“Kalau wakil masyarakat India cakap dengan saya, saya akan cuba selesaikan. Tengok ada orang kata Mitra (bermasalah) itu tidak betul, Mitra saja (kita beri) RM100 juta.
“Tekun (untuk) peniaga kecil India macam mana…kita tambah RM50 juta, kemudian Amanah Ikhtiar dulu untuk orang kampung miskin semua kita bantu, sekarang Amanah Ikhtiar pun kita tambah RM50 juta bagi masyarakat India, jadi tak betul kalau kata kita tak ambil tahu,” katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama Komuniti India Parlimen Tambun di sini.
Menurutnya, langkah diambil kerajaan bagi membantu masyarakat India itu hasil maklum balas dan perbincangan dengan rakan-rakan, exco, Adun dan wakil masyarakat India mengenai masalah dihadapi kaum tersebut.
Anwar berkata, pihaknya turut meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi menyediakan peluang kepada anak masyarakat India menyertai program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang mula dilaksanakan tahun ini.
“Kemudian saya (beritahu) Petronas, bagi biasiswa kepada masyarakat India, dulu tumpu masyarakat Melayu…tetapi sekarang untuk masyarakat India, latihan, staf, biasiswa lebih 1,000 telah diambil.
“Jadi, kalau ini kawan-kawan dan pemimpin masyarakat tidak cerita, orang tidak akan simpati dan kesian, sebab itu saya kata buat aduan…cuma jangan timbul cakap seolah-olah oh, Anwar tidak ambil tahu semua. Ini tidak betul.”
Beliau turut meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melatih lebih ramai guru bahasa Tamil bagi membolehkan pelajar ingin mempelajari bahasa itu tidak mengalami sebarang masalah.
“Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, tetapi anak Cina nak belajar bahasa Cina kita bagi peluang. Kita tak rugi, negara kita untung kalau anak Malaysia (tahu bahasa) Tamil, Cina dan Arab yang boleh menguntungkan negara.”
“Kita perlu menyelamatkan negara ini daripada fanatik perkauman dan agama dalam kalangan semua bangsa dan agama. Dan selagi saya menjadi perdana menteri, saya akan lakukan apa yang terbaik untuk menyelamatkan negara.”




















