Keropok beracun: Lelaki direman 6 hari

Kulim, Julai-
Seorang pekebun ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan membabitkan kematian seorang kanak-kanak selepas disyaki makan ringan berupa keropok beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini.

Permohonan reman ke atas lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai pemilik kebun dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad bermula hari ini hingga 17 Julai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, penahanan suspek bagi membantu siasatan kerana  kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Menurut beliau, suspek ditahan di Lubuk Buntar, Bandar Baharu, petang semalam.
Hasil siasatan mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Padang Ubi itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang daripada dua beradik yang termakan keropok disyaki bercampur racun meninggal dunia pada pagi Rabu.

Jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada jam kira-kira 9.45 malam tadi.

Sementara adiknya, Muhammad Luth, 2, dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Terdahulu, media melaporkan, dua kanak-kanak itu kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here