Kes rempuh orang ramai 4 ditahan

Kuala Lumpur, Jan-
Polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan itu ketika sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.“Permohonan reman ke atas semua suspek akan dipohon hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan dua lelaki cedera selepas dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux dan Vios yang dipandu melulu ke arah sekumpulan orang yang bertindak bertempiaran lari.

Video kejadian itu yang tular di media sosial menunjukkan beberapa orang dilihat dilanggar dua kenderaan terbabit yang kemudiannya berpatah balik dengan salah sebuah daripadanya melanggar pula motosikal diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang melihat insiden itu semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here