Kuala Lumpur, Sep-
Peniaga di sekitar Jalan Masjid India meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat hebahan secara berterusan bagi menarik orang ramai berkunjung ke situ, sekali gus merancakkan semula aktiviti perniagaan di lokasi terbabit.
Pada masa ini, DBKL dan semua agensi berkaitan berganding bahu menjalankan kerja membaik pulih kawasan sekitar Masjid India termasuk pembinaan semula kawasan yang rosak akibat kejadian tanah jerlus baru-baru ini bagi memastikan kawasan Jalan Masjid India kekal selamat untuk dikunjungi orang ramai.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, pihak DBKL sudah mencadangkan pelan susun atur baharu tapak pengoperasian Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman termasuk cadangan pemindahan penjaja terbabit ekoran kerja pembaikan tanah mendap yang dijalankan.
Katanya, setakat ini DBKL sudah mengadakan dua sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi memaklumkan status terkini insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk status kemajuan kerja di tapak.
“DBKL memaklumkan penutupan sebahagian Jalan Masjid India sepanjang 160 meter dari Wisma Yakin hingga Bit Polis Jalan Masjid India.
“Penutupan jalan ini bagi memberi laluan kepada kerja pemeriksaan utiliti dan struktur tanah.”Pihak DBKL juga membentangkan pelan tapak termasuk cadangan pemasangan hoarding dan kerja pemasangan hoarding bermula sejak Jumaat lalu serta selesai semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
DBKL berkata, kerja pembaikan ‘manhole’ pula sedang dijalankan di lokasi insiden, manakala bagi manhole berdekatan bit polis Jalan Masjid India pula, pihak Indah Water Konsortium (IWK) sudah membaiki paip kumbahan dan pemeriksaan tanah bermula hari ini sebelum kemasan akhir dibuat.
Sementara itu, DBKL berkata, wakil pengurusan Masjid India turut memohon diberi ruang saf tambahan di luar masjid bagi solat Jumaat kerana ruangan sedia ada di dalam masjid adalah sesak.




















