Alor Setar, Sep-
Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 wajar untuk dikembalikan semula.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peperiksaan itu sebelum ini terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.
“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ia menjadi salah satu komponen yang penting dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.
“Jadi, saya lihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan berkenaan kerana ia terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berhubung cadangan supaya sistem peperiksaan bagi Tahun Enam di sekolah rendah dan Tingkatan Tiga di sekolah menengah dirombak.
Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.
Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.
Justeru, beliau berkata, saranan oleh Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira .
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.
“Kaedah pentaksiran itu juga saya fikir memberi beban tambahan kepada guru kelas,” katanya.
Mahdzir mendakwa, ada juga kedengaran suara daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang menjejaskan peluang anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).




















