Kluang, Sep-
Kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 109 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, dibuka serentak 8 pagi ini.
Proses pengundian hari ini melibatkan 61,274 pengundi dan akan berlangsung sehingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan undi dilakukan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di bandar Kluang pagi ini, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.
PRK itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, dengan kedua-duanya juga akan mengundi hari ini.
Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung pada Selasa, melibatkan 4,437 pengundi.





























