Kulim, Sep-
Seorang lelaki memandu kereta dengan mengikat seekor anjing di belakang kenderaan itu sebelum diseret dalam kejadian di Jalan Kulim, Taman Sentosa, pada Jumaat yang tular di media sosial.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu kereta berkenaan pada 12.41 tengah malam semalam.
“Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 8 malam Jumaat dan mengikut lelaki berkenaan, dia hanya menyedari anjing itu diikat di belakang keretanya sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kulim selepas dimaklumkan oleh seorang lelaki.
“Pemandu kereta itu terus turun dari kenderaannya dan mendapati anjingnya terikat (di belakang kereta) sebelum menghubungi isterinya yang dimaklumkan haiwan berkenaan diikat di belakang kereta oleh adik iparnya bagi mengelakkan anjing itu berkeliaran ke rumah jiran,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu adalah pemilik berdaftar anjing berkenaan dan dia mengaku kecuaiannya serta tiada niat menganiaya haiwan itu serta memohon maaf kepada orang ramai atas kekhilafannya.
Helmi berkata, lelaki itu juga mengaku tidak perasaan anjingnya diikat di belakang keretanya semasa hendak keluar ke kedai dan menyebabkan haiwan berkenaan diseret secara tidak sengaja.




















