Kuala Lumpur, Nov-
Isu agama dan kaum terus dijadikan bahan untuk berpolitik yang mengancam perpaduan rakyat negara ini perlu segera dibendung, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin bertitah apabila agama dan kaum dijadikan ‘mata wang yang sah’ untuk meraih laba politik, retorik atas nama agama yang keterlaluan dan slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif, semakin dicetuskan.
Sultan Nazrin bertitah, kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab dan memijak adat semakin dipelopori dalam kalangan buta huruf terhadap sejarah negara, cetek tentang tamadun bangsa dan berminda budaya pelarian serta tidak ada akar budaya.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa.
“Lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan, ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya. BH