Bekas polis disabit bersalah dalam kes kematian Floyd

Bekas pegawai polis yang dipecat, Derek Chauvin, kelmarin disabitkan kesalahan membunuh dan membunuh tanpa niat atas kematian warga Afrika-Amerika George Floyd dalam sebuah kes yang membangkitkan kemarahan di seluruh Amerika Syarikat(AS) untuk hampir setahun, menyerlahkan isu perpecahan perkauman yang mendalam.

Juri daripada pelbagai kaum yang terdiri tujuh wa-nita dan lima lelaki di bandar Midwestern di Minneapolis mengambil kurang daripada dua hari dalam perbicaraan tiga minggu untuk mendapati pegawai berkulit putih itu bersalah dalam keputusan sebulat suara terhadap semua tiga tuduhan yang dihadapi-nya.

Chauvin, 45, boleh dikenakan hukuman penjara beberapa dekad atas pembunuhan Floyd pada 25 Mei 2020, yang membangkitkan protes seluruh dunia menentang ketidakadilan kaum dan dilihat sebagai ujian penanda dalam kebertanggungjawaban polis.

Peguam keluarga Floyd, Ben Crump, memuji keputusan mahkamah itu sebagai kemenangan penting dalam hak asasi manusia yang boleh menjadi batu loncatan dalam undang-undang untuk membentuk semula pasukan polis dalam cara mereka menangani kumpulan minoriti.

“Keadilan yang nyata perit akhirnya diterima oleh keluarga George Floyd. Keputusan ini merupakan perubahan dalam sejarah dan mengutuskan mesej penting mengenai keperluan untuk kebertanggungjawaban dalam penguatkuasaan undang-undang,” ciap Crump di Twitter.

 “Keadilan untuk warga hitam Amerika adalah keadilan untuk seluruh Amerika!”

Chauvin, veteran 19 tahun dalam Jabatan Polis Minnea-polis, berdepan dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun ke atas dakwaan yang paling serius antara tiga yang dihadapinya, pembunuhan darjah kedua.

Dia dilihat dalam video melutut pada leher Floyd selama lebih sembilan minit ketika lelaki berkulit hitam yang berusia 46 tahun itu meniarap, digari di bahu jalan dan mengadu “tidak dapat bernafas”.

Video tersebut, ditayangkan beberapa kali kepada juri dalam perbicaraan tiga minggu Chauvin, menyemarakkan protes seluruh dunia menentang ketidakadilan kaum dan keganasan polis.

Drama bilik mahkamah itu ditayangkan ke mata negara selepas Daunte Wright, lelaki berkulit hitam yang berusia 20 tahun, ditembak mati di luar bandar Minneapolis oleh polis wanita berkulit putih yang tersalah ambil pistolnya dan bukan pistol Taser, serta seorang budak lelaki berusia 13 tahun dibunuh oleh polis di Chicago.

Pembunuhan Wright mencetuskan protes beberapa malam di Minneapolis, dan sebelum keputusan perbica-raan kes Chauvin diumumkan, pasukan Keselamatan Negara telah dikerah di bandar Minnesota dan juga di ibu negara, Washington.

Antara 38 saksi yang memberi keterangan terdiri orang ramai yang menyaksikan penahanan Floyd pada 25 Mei 2020, atas kesalahan menggunakan wang palsu AS$20 untuk membeli sekotak rokok.

Darnella Frazier, remaja yang merakam video tular itu, mengulas Floyd tampak “takut” dan “merayu untuk nyawanya”.

“Ia tidak betul. Dia sedang sengsara,” kata Frazier.

Chauvin hadir setiap hari perbicaraan itu, namun hanya berbicara sekali untuk merayu Pindaan Kelima hak untuk tidak memberi keterangan.

Sabit kesalahan dalam mana-mana tuduhan, pembunuhan darjah kedua, pembunuhan darjah ketiga atau pembunuhan tanpa niat, memerlukan keputusan sebulat suara daripada panel juri.

Juri daripada pelbagai kaum terdiri enam wanita berkulit putih, tiga lelaki berkulit hitam, tiga lelaki berkulit putih, dua wanita bangsa campuran dan seorang wanita berkulit hitam.

Tiga lagi bekas pegawai polis, Tou Thao, Thomas Lane dan J.Alexander Kueng, juga disabitkan kesalahan atas penglibatan dalam kematian Floyd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here