Mayat dalam peti sejuk: Punca kematian akibat kecederaan di dada!

Kuala Lumpur, Nov-
Laporan awal bedah siasat ke atas mayat seorang wanita warga emas yang disumbat ke dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini, minggu lalu mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada dada akibat dihentak objek tumpul.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis bagaimanapun masih menunggu laporan penuh dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh. Bagaimanapun laporan awal mengesahkan wanita itu meninggal dunia akibat kecederaan pada dada akibat objek tumpul iaitu chest injuries due to blunt trauma,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mayat mangsa sudah dituntut suaminya kira-kira jam 9 pagi, Khamis dari Jabatan Forensik PPUM.

Suspek pula, katanya, sudah didiscaj dari PPUM selepas menerima rawatan dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menurutnya, setakat ini, polis sudah merakam percakapan sembilan individu termasuk jiran mangsa.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an sebelum disumbat dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Taman OUG.

Perkara itu terbongkar selepas suspek yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa dipercayai dibunuh suspek pada Mac 2021.

Sehubungan itu, polis menahan anak lelaki mangsa yang berusia 53 tahun dan tahanan reman disambung hingga 26 November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here