Kuala Lumpur, Nov-
Polis yakin untuk melengkapkan siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi semalam.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan meneliti kenyataan daripada saksi sedia ada dan akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara.
“Memang kita boleh capai (lengkapkan siasatan dalam enam bulan)… ini arahan terbaharu dari Mahkamah Tinggi, jadi kita akan patuh,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis.
Keluarga Teoh Beng Hock memohon pengisytiharan bahawa kegagalan polis melengkapkan siasatan kematian lelaki itu dalam tempoh munasabah adalah pelanggaran undang-undang dan kewajipan statutori.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah polis melengkapkan siasatan lama tertangguh ke atas kematian Teoh yang meninggal dunia lebih 15 tahun lalu.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengeluarkan arahan itu dalam prosiding semakan kehakiman oleh keluarga Teoh dua tahun lalu.
Teoh meninggal dunia di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).